Senaraikan sektor pekerjaan bawah paras kemiskinan
PUTRAJAYA 25 Jun – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) diminta menyenaraikan sektor pekerjaan di negara ini yang dikenal pasti masih menerima gaji di bawah paras kemiskinan secepat mungkin.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Fong Chan Onn berkata, ia bagi membolehkan kerajaan membantu pekerja di sektor terbabit menerima gaji yang sewajarnya selain menikmati syarat-syarat pekerjaan lebih baik.
Beliau berkata, ia juga adalah satu kaedah yang paling konstruktif bagi melindungi hak pekerja di negara ini.
“MTUC tidak perlu mengadakan piket tetapi sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan supaya setiap sektor pekerjaan di negara ini mempunyai Majlis Penetapan Gaji masing-masing.
“MTUC pun menyedari keberkesanan peranan yang dimainkan oleh majlis yang setakat ini telah melindungi seramai 1.2 juta pekerja seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Persatuan Pentadbir Akauntan Malaysia (MAAA) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Thomas George M.S. George dan Presiden MAAA, Peter Lim.
Sehubungan itu, Chan Onn memberitahu, MTUC boleh mengemukakan senarai itu kepada pihak beliau pada bila-bila masa sahaja.
“Terpulang kepada MTUC untuk mengemukakan sektor pekerjaan yang perlu mempunyai Majlis Penetapan Gaji,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Buruh sedang menjalankan Bancian Pekerja Kebangsaan 2007 yang melibatkan 570,000 pekerja sektor awam dan swasta berdaftar di seluruh negara.
Katanya, bancian itu dijangka dapat diselesaikan pada bulan Oktober ini.
“Bancian yang bermula sejak sebulan lalu itu penting bagi membolehkan kerajaan memutuskan paras gaji pekerja yang sesuai.
“Ia juga bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti sektor pekerjaan manakah yang memerlukan Majlis Penetapan Gaji,” katanya.
Uusan Malaysia 27.6.07
Comments