Rundingan kementerian dengan MTUC masih berjalan – Menteri
BATU PAHAT 24 Jun – Kementerian Sumber Manusia masih berunding dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhubung penetapan gaji minimum untuk pekerja swasta termasuk di sektor perhotelan.
Sehubungan itu, menterinya, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn (gambar) berkata, MTUC tidak perlu meneruskan hasrat mereka untuk mengadakan piket esok.
Katanya, kajian juga sedang dilakukan bagi kemungkinan mewujudkan satu lagi majlis gaji untuk sektor-sektor tertentu termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
‘‘Dalam pertemuan dengan MTUC baru-baru ini, saya mencadangkan agar mereka membuat kajian dan cadangan mengenai mana-mana sektor yang dirasakan perlu untuk dilaksanakan penetapan gaji tersebut,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.
Chan On berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan MTUC mengadakan piket minggu depan sebagai menuntut gaji minimum RM900 dan Elaun Sara Hidup (COLA) RM300 untuk pekerja sektor swasta.
Menurutnya, setakat ini itulah bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan dengan MTUC bagi menyelesaikan masalah tersebut.
‘‘Saya berharap MTUC maklum akan perkara ini dan tak payahlah berpiket,” katanya.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut meminta badan induk kesatuan bagi lapan juta pekerja sektor swasta itu supaya tidak mengadakan piket.
Menurut Najib, MTUC sepatutnya terus mengadakan perbincangan dengan kerajaan kerana kedua-dua pihak mempunyai pertimbangan tertentu yang perlu difikirkan.
Katanya, banyak kesan yang akan timbul jika gaji minimum diwajibkan.
Majlis Penetapan Gaji kini hanya dianggotai oleh tujuh sektor di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, namun ia memberi perlindungan kepada 1.2 juta pekerja dalam sektor terbabit.
Tujuh sektor yang menganggotai majlis itu ialah Pembantu Klinik Semenanjung Malaysia, Pengawal Keselamatan Semenanjung Malaysia, Pengawal Keselamatan Sabah, Pengawal Keselamatan Sarawak, Pembantu Klinik Sabah, Pekerja Am (Kebun Kecil) Sabah dan Pekerja Am (Kebun Kecil) Sarawak.
Comments