Kerajaan tidak setuju gaji awam, swasta diseragam
SEREMBAN 26 Jun – Kerajaan tidak bersetuju dengan tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya pemberian gaji dalam sektor awam dan swasta diseragamkan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn berkata, kaedah itu tidak boleh dilaksanakan kerana ia boleh menyebabkan ekonomi negara tidak stabil.
“Ini tidak bolehlah dilakukan. Kita telah bersetuju supaya pendekatan pemberian gaji melalui sektor dan mekanisme ini banyak membantu dalam penyelesaian tuntutan gaji.
“Kita tidak mahu pendekatan dengan istilah blanket approach, nanti pembantu rumah pun dimasukkan, pekerja sambilan juga begitu. Susahlah... Ini akan menjadikan ekonomi kita tidak bergerak,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan bangunan baru Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan MTUC mengadakan piket bagi menuntut gaji minimum RM900 dan Elaun Sara Hidup (COLA) RM300 untuk pekerja sektor swasta di 13 lokasi di seluruh negara semalam.
Chan Onn yang kesal dengan tindakan MTUC mengadakan piket itu menjelaskan, kesatuan sekerja tersebut perlu menilai semula pendekatan yang diambil supaya ia tidak memberi kesan kepada ekonomi negara.
Menurutnya, mekanisme yang dilakukan kerajaan selama ini nyata memberi kesan yang baik kerana ia diselesaikan mengikut sektor melalui penubuhan Majlis Penetapan Gaji.
“Dua tahun kebelakangan ini, kerajaan telah menubuhkan tujuh Majlis Penetapan Gaji membabitkan sektor perladangan, pengawal keselamatan dan sebagainya.
“Ini dilakukan kerana kita dapati gaji yang mereka terima terlalu rendah dan kita menuntut supaya pemberian gaji diberikan lebih adil oleh majikan.
“Seperti Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW), mereka telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA) dan akhirnya melalui perjanjian bersama, pekerja ladang memperoleh kenaikan gaji sehingga 10 peratus,” kata beliau.
Oleh itu, kata beliau, MTUC tidak wajar melakukan piket kerana ia sebenarnya boleh diselesaikan melalui perbincangan dan dialog.
“Tak payahlah (adakan piket)... kita (kerajaan) memang bersama-sama MTUC. Kita mahu pekerja dibayar gaji yang munasabah. Kita tidak mahu seorang pun pekerja dieksploitasi oleh majikan.
“Saya sendiri telah menerangkan kepada MTUC beberapa kali. Strategi kerajaan adalah jelas, bahawa kita mahu pekerja dibayar gaji berpatutan dan adil,” kata Chan Onn.
Beliau juga mengambil perhatian serius tuntutan MTUC supaya kerajaan melihat nasib pekerja di pelabuhan serta pengendali kargo.
- Utusan Malaysia 27/6/07
Comments