PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), badan induk kesatuan bagi lapan juta pekerja sektor swasta di negara ini, supaya tidak mengadakan piket berhubung permohonan gaji minimum.
"Kami berharap mereka (MTUC) tidak akan mengadakannya tetapi terus mengadakan perbincangan dengan kerajaan kerana kita mempunyai pertimbangan tertentu yang perlu difikirkan.
"Terdapat banyak akibat timbul dengan gaji minimum tetapi terdapat amalan yang dilakukan industri misalnya industri memutuskan tahap gaji yang boleh diterima tetapi kita masih belum menerima pakai dasar gaji minimum di negara ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Barang-Barang Perlu di sini hari ini.
Semalam, MTUC menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta kerajaan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi gaji minimum ditetapkan sebanyak RM900 dan tambahan RM300 sebagai Elaun Sara Hidup (COLA) kepada pekerja sektor swasta.
Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud berkata MTUC, yang memberikan tempoh seminggu kepada kerajaan, akan mengadakan piket di beberapa tempat di negara ini jika kerajaan tidak memberikan maklum balas yang positif terhadap permohonannya.
MTUC bercadang mengadakan piket serentak di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Bangi, Shah Alam, Klang, Johor, Kuching dan Pulau Pinang pada Isnin mulai pukul 5 hingga 6 petang.
-- BERNAMA
Comments