MTUC Kemuka Memorandum Mengenai Gaji Minimum Ke Pejabat PM

PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Tidak sampai sebulan selepas kerajaan mengumumkan kenaikan gaji bagi kira-kira satu juta kakitangan awam, kini terdapat desakan supaya gaji minimum bagi pekerja sektor swasta diperkenalkan.

Ke arah itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), badan induk bagi lapan juta pekerja dalam sektor swasta Malaysia, mahu gaji minimum ditetapkan pada RM900 manakala Elaun Sara Hidup (Cola) pula RM300 bagi kumpulan ini.

MTUC menyatakan perkara itu dalam memorandum yang diserahkan oleh presidennya, Syed Shahir Syed Mohamad, dan setiausaha agung G. Rajasekaran kepada Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita sebelum menyerahkan memorandum itu kepada Ahmad Yaakob, setiausaha sulit kanan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Syed Shahir berkata sumbangan pekerja berkenaan kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara di samping kerjasama mereka dalam mengekalkan keamanan industri mendapat pengiktirafan dan penghargaan kerajaan.

"Bagaimanapun sebahagian besar daripada pekerja makan gaji masih menerima gaji yang rendah dan tidak menperoleh keperluan asas hidup. Sebahagian besar daripada pekerja terbabit bukan pekerja mahir dan tidak berada dalam lingkungan keanggotaan kesatuan sekerja," katanya.

Bulan lepas, Abdullah mengumumkan kenaikan gaji antara 7.5 peratus dan 42 peratus bagi sejuta kakitangan kerajaan manakala Cola pula dinaikkan sebanyak 100 peratus, bermula bulan depan.

Syed Shahir berkata meskipun memperoleh keuntungan besar, gaji asas pekerja yang terbabit dalam sektor perladangan, tekstil dan pakaian serta pengeluaran masih di bawah RM500, dan ini memerlukan kerajaan supaya menggubal undang-undang berkaitan gaji minimum.

"Tiada sebab untuk kerajaan berlengah lagi dalam meluluskan undang-undang berkaitan gaji minimum yang terpakai untuk semua pekerja. Dengan menguatkuasakan gaji minimum yang sesuai, kerajaan akan berupaya menarik lebih banyak pekerja warga Malaysia dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing," katanya.

Beliau mendakwa ketiadaan peruntukan gaji minimum yang khusus dalam Akta Pekerjaan 1955 mengakibatkan banyak pekerja sektor swasta dieksploitasi oleh majikan mereka.

Mengenai Cola, MTUC percaya kerajaan telahpun melaksanakan kajian terperinci dan mendalam mengenai kenaikan kos sara hidup serta implikasinya ke atas pekerja makan gaji sebelum memutuskan untuk membayar Cola RM300 kepada kakitangan awam.

"Tiada sebab untuk mengecualikan lebih lapan juta pekerja dalam sektor swasta daripada menikmatinya," kata Syed Shahir.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog