Gaji Pokok Terendah Kakitangan Awam Kini Hampir Lepasi Garis Kemiskinan


PUTRAJAYA, 21 Mei 2007 (Bernama) -- Gaji pokok terendah kakitangan awam kini hampir melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) ekoran daripada kenaikan gaji kakitangan awam mulai 1 Julai ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Perdana Menteri berkata gaji pokok terendah yang baru ialah RM649.15 sebulan berbanding dengan PGK terkini iaitu RM691 untuk seluruh negara.

Gaji pokok terendah iaitu bagi Tukang Masak Gred N1 sekarang ialah RM480.85 dan akan naik 35 peratus kepada RM649.15 sebulan mulai Julai nanti.

Jika dicampur imbuhan tetap seperti Imbuhan Tetap Khidmat Awam dan Imbuhan Tetap Perumahan, jumlah pendapatan terendah terbaru golongan itu ialah RM1,024.15 sebulan, kata Abdullah.

Jumlah pendapatan itu tidak termasuk Bantuan Sara Hidup (COLA) yang baru antara RM100 dan RM300 bergantung kawasan bertugas kakitangan berkenaan.

Sebelum kenaikan gaji itu, pendapatan sebulan kakitangan itu adalah RM805.85 sebulan.

"Jumlah pendapatan terendah terbaru itu jelas melepasi PGK," kata Abdullah.

PGK terkini ialah RM691 sebulan bagi seluruh Malaysia bagi keluarga yang terdiri daripada lima anggota, tetapi mengikut wilayah, PGK Semenanjung Malaysia ialah RM661 sebulan, PGK Sabah RM888 sebulan dan PGK Sarawak RM765 sebulan.

Sumber : BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog