MTUC jadi piket
Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
KUALA LUMPUR 24 Jun – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tetap akan berpiket esok bagi menuntut kerajaan menimbangkan gaji minimum RM900 dan Elaun Sara Hidup (COLA) RM300 untuk pekerja sektor swasta.
Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamad berkata, memandangkan kerajaan tidak memberikan maklum balas positif terhadap tuntutan tersebut selepas tempoh seminggu diberikan, MTUC tidak akan berganjak dengan pendirian asal kesatuan itu.
Katanya, bermula pukul 5 hingga 6.30 petang esok, ahli-ahli MTUC akan berkumpul untuk mengadakan piket serentak di lebih 13 lokasi iaitu di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Bangi, Shah Alam, Klang, Johor, Kuching, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka dan Seremban.
Beliau difahamkan semua ahli telah bersiap sedia untuk berpiket bagi menuntut hak mereka.
‘‘MTUC kesal kerana mesyuarat yang diatur dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn minggu lepas menemui jalan buntu, tiada sebarang keputusan yang menyakinkan dibuat.
‘‘Kami berharap jalan terakhir ialah berjumpa dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas beliau pulang dari lawatan ke luar negara nanti,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai ketetapan MTUC mengenai piket yang dijadual diadakan esok sekiranya tuntutan memasukkan gaji minimum RM900 ke dalam Akta Pekerjaan 1955 tidak dipenuhi kerajaan.
Menurut Syed Shahir, walaupun banyak menerima nasihat supaya tidak berbuat demikian terutamanya daripada Chan Onn dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun MTUC beranggapan isu ini perlu diselesaikan segera demi masa depan lebih lapan juta pekerja sektor swasta.
‘‘Mereka juga berhak menerima faedah sama seperti yang dinikmati oleh pekerja sektor awam,’’ katanya.
Comments