MTUC wajar kembali ke meja rundingan

Rencana Pengarang
TIADA siapa dapat menafikan betapa sektor swasta sememangnya memainkan peranan yang penting dalam menjana kemajuan dan kejayaan negara ini sekarang.

Satu ketika dulu, masyarakat memandang tinggi sektor swasta kerana menawarkan gaji lumayan dan pada masa yang sama mereka melihat sektor awam yang menawarkan gaji rendah dengan sebelah mata.

Tetapi itu dulu. Keadaan sekarang sudah berubah apabila sektor awam dipandang sebaliknya oleh masyarakat berikutan keputusan kerajaan menaikkan gaji kakitangannya mulai Julai ini.

Suka atau tidak, keadaan itu menimbulkan rasa cemburu di kalangan kakitangan swasta apabila sahabat mereka bakal mendapat upah lebih lumayan mulai Julai ini.

Dengan alasan kenaikan gaji itu memberikan kesan kepada sektor swasta serta inflasi dalam negara, secara tiba-tiba Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan piket di 13 lokasi di seluruh negara semalam.

Dua isu menjadi tuntutan utama MTUC iaitu mahukan tuntutan gaji minimum RM900 dan Elaun Sara Hidup (COLA) sebanyak RM300 yang pernah diberikan pada zaman Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Kita bersimpati dengan masalah yang dihadapi oleh kakitangan sektor swasta terutama mereka yang bergaji rendah ketika ini yang semakin tertekan disebabkan kenaikan kos sara hidup yang begitu rencam sifatnya.

Namun pada masa sama kita juga percaya tindakan perusahaan dengan berpiket meskipun secara aman bukanlah jalan penyelesaian dalam sebuah negara yang aman damai.

Dilihat daripada sudut mana sekalipun dalam menangani isu ini, tindakan MTUC itu sememangnya kurang manis untuk diteruskan.

Kerajaan sekarang sentiasa membuka pintu rundingan bagi menyelesaikan setiap masalah dalam sektor swasta satu persatu sejak daripada dulu sampai sekarang.

Pada masa yang sama, dalam usaha untuk bersetuju dengan setiap tuntutan, kerajaan perlu juga mengambil kira kepentingan ekonomi negara dengan memastikan daya saing sektor swasta di negara ini tidak terjejas.

Apa pun kita menaruh kepercayaan dengan kewibawaan kerajaan sedia ada yang begitu prihatin untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di semua lapisan termasuk sektor swasta.

Justeru amat manis sekali jika MTUC kembali ke meja rundingan dengan kerajaan sedia ada yang menjadi ‘bapa’ kita selama ini baik kepada sektor awam dan swasta untuk menyelesaikan masalah secara baik dan bukan dengan pendekatan berkonfrontasi.

- Utusan Malaysia 27/6/07

Comments

Popular posts from this blog