MTUC jangan ambil tindakan rugikan pekerja – Abdullah

Daripada BADRUL AZHAR RAHMAN

ROM 26 Jun – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar tidak mengambil tindakan yang merugikan golongan pekerja berhubung isu tuntutan gaji minimum pekerja sektor swasta.

‘‘Apa pun kita perlu berbincang dan jangan ambil tindakan-tindakan yang akhirnya merugikan pekerja sendiri,” kata Perdana Menteri ketika mengulas tindakan MTUC yang mengadakan piket di 13 lokasi di seluruh negara semalam.

Piket tersebut dijalankan atas alasan kerajaan tidak memberikan maklum balas positif terhadap tuntutan gaji minimum RM900 dan Elaun Sara Hidup (COLA) RM300 untuk pekerja swasta.

Abdullah yang dalam rangka lawatan rasmi di Itali berkata, beliau akan meminta laporan lengkap daripada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, para majikan kini mengambil kira soal kos tenaga pekerja dan ia amat penting dalam sebarang industri atau perusahaan.

‘‘Kos tenaga pekerja yang tinggi akan memaksa para pelabur berpindah ke tempat lain dan juga membatalkan hasrat bakal-bakal pelabur untuk menanam modal di negara ini,” jelas Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia di sini malam tadi.

Abdullah menambah, faktor tenaga pekerja asing juga perlu diambil kira dalam membincangkan soal tuntutan tersebut kerana bilangan pekerja asing juga ramai.

‘‘Adakah mereka (pekerja asing) bersedia untuk bekerja dengan gaji yang ada sekarang tanpa mendapat kenaikan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, semua faktor ini perlu diambil kira dalam perbincangan berhubung isu itu.

Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamad semalam menjelaskan, MTUC kesal kerana mesyuarat yang diatur dengan Menteri Sumber Manusia minggu lepas menemui jalan buntu dan tiada sebarang keputusan meyakinkan dibuat.

Piket tersebut bermula dari pukul 5 petang dan berakhir 6.30 petang.

– Utusan Malaysia 27/6/07

Comments

Popular posts from this blog