Mekanisme Untuk Jaga Kebajikan Pekerja Swasta
PETALING JAYA, 21 Jun (Bernama) -- Satu mekanisme bagi memelihara kebajikan pekerja swasta akan diperkenalkan tidak lama lagi, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn.
Beliau berkata mekanisme itu penting bagi menangani kebajikan pekerja sektor swasta yang pelbagai bidang dan tempoh perkhidmatan yang berbeza mengikut fungsi dan skop tugas masing-masing.
"Ada pihak yang menuntut supaya kerajaan menetapkan gaji minimum RM900 dan Elaun Sara Hidup (COLA) RM300 untuk semua pekerja sektor swasta, sedangkan ada antara mereka yang cuma bekerja secara sambilan dan sementara.
"Jika ia dilaksanakan, ada majikan yang akan mengalami kerugian besar ekoran tuntutan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia 2007 anjuran Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) di sini hari ini.
Justeru pihak kementerian akan terus berbincang dengan pihak berkenaan bagi memastikan isu tersebut diselesaikan dengan segera sekaligus mengelakkan para pekerja sektor swasta tertunggu-tunggu, katanya.
Menurut Fong, ada syarikat swasta mempunyai kesatuan pekerja mereka sendiri dan isu kadar bayaran gaji pekerja adalah tanggungjawab kesatuan berkenaan untuk menguruskannya.
"Kerajaan akan menumpukan perbincangan khusus kepada pekerja syarikat swasta yang tidak mempunyai kesatuan pekerja mereka sendiri seperti pembantu klinik, pengawal keselamatan dan pekerja am," katanya.
Selain itu, kerajaan juga telah menubuhkan tujuh majlis penetapan gaji iaitu tiga di Sabah dan masing-masing dua di Semenanjung dan Sarawak di bawah Akta Lembaga Gaji 1947 bagi melindungi kira-kira 1.2 juta orang pekerja berkaitan soal bayaran gaji.
Sementara itu beliau meminta Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya tidak mengadakan piket di seluruh negara Isnin ini bagi menuntut kerajaan supaya menetapkan gaji minimum untuk pekerja swasta.
"Saya harap mereka tidak meneruskan cadangan itu kerana kerajaan sentiasa bersedia untuk berbincang terutama isu berkaitan kebajikan pekerja di sektor swasta," katanya.
-- BERNAMA
Comments