Produktiviti Pekerja Meningkat Dengan Gaji Minimum - MCA

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Penubuhan Majlis Penetapan Gaji Minimum bukan sahaja meningkatkan taraf kehidupan golongan pekerja malah ia juga memacu produktiviti dan merangsang inovasi bagi menjana ekonomi negara.

Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek berkata dengan gaji berpatutan, produktiviti akan meningkat dengan perubahan sikap yang lebih baik terhadap kerja serta membolehkan mereka membiayai perbelanjaan hidup.

"Perubahan sikap serta bantuan latihan dan pelaburan dalam bidang teknologi akan membantu Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang murah dan mahir untuk memacu ekonomi negara," katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja pada Sabtu.

Beliau juga mencadangkan sektor pertumbuhan pesat khususnya sektor yang banyak bergantung kepada tenaga pekerja asing perlu memperkenalkan tahap gaji minimum.

"Ini disusuli oleh kerajaan memberi insentif seperti geran atau pinjaman untuk menggalakkan industri membuat pelaburan bagi modal perbelanjaan dan latihan bagi meningkatkan produktiviti," kata Dr Chua.

Di samping itu, kadar pengangguran di Malaysia akan menurun berikutan penawaran gaji minimum akan menarik penduduk tempatan menyertai pasaran kerja, katanya.

Selain itu, Dr Chua berkata ia juga akan membantu mengurangkan penghantaran wang ke negara luar oleh pekerja asing yang telah bertambah kepada RM18 bilion.

"Ketika sektor swasta mungkin mengalami penurunan keuntungan pada mulanya apabila gaji minimum dilaksanakan, tetapi menerusi inovasi dan peningkatkan produktiviti, mereka akan mendapat pulangan yang lebih pada jangka masa panjang," katanya.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog