Kesatuan Kuat Prasyarat Capai Sasaran MEB, Kata MTUC
PETALING JAYA, 27 April (Bernama) -- Kesatuan yang kuat dan berkesan adalah prasyarat untuk Malaysia mencapai status sebuah negara berpendapatan tinggi, menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Setiausaha agungnya G. Rajasegaran berkata industri perbankan adalah satu contoh yang baik dengan kadar berperkesatuan yang tinggi di mana semua pekerja termasuk eksekutif dilindungi dengan perjanjian kolektif.
Dengan ini, produktiviti dan keuntungan juga adalah antara yang tertinggi dalam sektor perbankan, kata beliau kepada Bernama.
Katanya industri perbankan juga telah menunjukkan bahawa dengan melabur dalam teknologi dan penempatan sumber manusia berkesan, tidak memerlukan pekerja asing yang pada suatu ketika adalah industri yang banyak menggunakan buruh.
Bank-bank Malaysia kini boleh bersaing dengan jayanya dan diperluaskan di rantau ini, tambah beliau.
Rajasegaran berkata ini selaras dengan objektif MEB yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini dengan hasrat untuk meningkatkan pendapatan per kapita kepada AS$15,000 dalam masa 10 tahun akan datang.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan dapat mencapai sasaran ini jika majikan terus memberikan penekanan terhadap gaji.
"Pada hakikatnya, berbilion ringgit dibelanjakan dalam sektor pendidikan untuk mengeluarkan pekerja yang berpengetahuan tidak akan memberikan manfaat kepada negara kerana gaji rendah akan menyebabkan penghijrahan pekerja yang berpengetahuan ke negara lain," katanya.
Beliau menggesa kerajaan agar lebih berani dalam memansuhkan dasar-dasar yang tidak mengikut peredaran masa, yang membantu mengekalkan gaji rendah dan majikan hanya ingin mendapatkan buruh asing yang murah.
Bagi mencapai aspirasi MEB, kerajaan hendaklah mengkaji undang-undang kesatuan sekerja yang berkaitan bagi meningkatkan pergerakan kesatuan sekerja dengan hak-hak untuk mendapatkan perjanjian kolektif.
Ia hendaklah juga menggalakkan pembinaan pertubuhan pekerja dan majikan yang kuat dengan kapasiti teknikal dan pengetahuan untuk penyertaan lebih berkesan dalam pembangunan negara, tambah beliau.
-- BERNAMA
Comments