Majikan Sektor Industri Diminta Pastikan Gaji Pekerja Tidak Terlalu Rendah
KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Para majikan dalam sektor industri diminta supaya melakukan sesuatu bagi memastikan gaji pekerja dalam sektor berkenaan tidak terlalu rendah.
Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata ketika ini gaji pekerja sektor ini dilihat cukup rendah, di mana purata gaji asas yang diterima mereka didapati berada sekitar RM550 hingga RM650 sebulan.
Katanya beliau berharap pihak majikan dapat menaikkan gaji pekerja mereka secara sukarela tanpa menunggu arahan daripada kerajaan, kerana jika tidak, ia akan mengakibatkan jumlah golongan miskin dalam negara bertambah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu persidangan media selepas merasmikan perhimpunan anjuran Sri Murugan Centre di dewan Pandu Puteri, Brickfields di sini, ketika mengulas mengenai kajian yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia berhubung penetapan kadar gaji minimum pekerja, terutama di sektor industri yang dilihat masih terlalu rendah.
Bagaimanapun menurutnya peningkatan gaji mestilah selaras dengan penambahan produktiviti pekerja, dan kerajaan sedia mendengar pandangan daripada pihak majikan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil yang dapat menguntungkan kedua-dua belah pihak.
-- BERNAMA
Comments