Isu Kenaikan Gaji Pengawal Keselamatan Diputuskan Minggu Depan
KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Permintaan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia untuk menangguhkan pelaksanaan gaji pengawal keselamatan yang dijadual bermula 1 Julai akan diputuskan pada hujung minggu depan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.
"Kita akan membuat satu kenyataan tentang isu itu pada hujung minggu depan pada hari Khamis atau Jumaat di mana segala isu mengenai hal ini akan dijelaskan," katanya pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan anjuran Sri Murugan Centre di dewan Pandu Puteri, Brickfields di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas permintaan persatuan itu pada Khamis lepas supaya menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji pengawal ke tahun depan.
Penangguhan itu bagi membolehkan syarikat keselamatan merundingkan semula kontrak dengan pihak yang menggunakan perkhidmatan mereka.
Ketika ditanya sama ada pihaknya sudah menerima memorandum daripada persatuan tersebut, Dr Subramaniam berkata: "Saya tidak lihat itu tetapi mungkin mereka sudah hantar".
Menerusi kenaikan gaji ini, kira-kira 150,000 pengawal keselamatan akan menikmati gaji pokok antara RM1,100 dan RM1,450 sebulan iaitu kenaikan antara 67 peratus dan 75 peratus mulai 1 Julai ini.
Mengenai permintaan pihak tertentu agar keanggotaan MIC dalam kabinet ditambah, Dr Subramaniam yang juga Naib Presiden MIC berkata beliau menyokong permintaan itu dan berkata ia telah lama timbul.
Katanya penambahan itu akan memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat India mengutarakan isu-isu terkini terutamanya yang melibatkan peningkatan taraf hidup.
"Dahulu kita ada dua orang menteri mewakili masyarakat India.. tinggal satu," katanya.
-- BERNAMA
Comments