KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan mensasarkan 15,000 peluang pekerjaan akan terbuka kepada tenaga kerja tempatan ekoran kenaikan bayaran levi kepada pekerja asing sebanyak dua kali ganda, dengan bayaran levi itu dibuat oleh majikan dan bukannya pekerja seperti sebelum ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata jumlah peluang pekerjaan yang meningkat itu dapat dilihat dalam tempoh sebulan selepas pelaksanaan kenaikan levi pekerja asing terhadap majikan dalam bidang tertentu kecuali di sektor pembinaan, perladangan dan pembantu rumah.

"Selain levi dibayar oleh majikan berbanding pekerja sebelum ini, kos membawa pekerja asing ke dalam negara akan bertambah. Diharapkan penambahan levi ini akan memastikan majikan tempatan memberi tumpuan kepada pekerja tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat Selasa.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam juga menyambut baik tindakan kerajaan memberi potongan cukai dua kali ke atas amaun gaji yang dibayar, terhadap majikan yang mengambil pekerja-pekerja yang diberhentikan.

Najib yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangannya berkata bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan, beberapa langkah diambil, termasuk menaikkan bayaran levi sebanyak dua kali ganda selain bayaran levi itu dibayar oleh majikan dan bukan lagi pekerja melalui gaji mereka.

Kerajaan juga akan membuat pembayaran balik levi pekerja asing secara pro-rata kepada majikan sekiranya tempoh perkhidmatan pekerja asing disingkatkan berbanding tempoh kontrak asal, di samping jaminan bank oleh majikan akan dikembalikan.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog