70,000 lagi pekerja Bangladesh dijangka masuk ke Malaysia

Oleh Sajad Hussein

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Lebih 70,000 pekerja Bangladesh dijangka tiba di Malaysia tidak lama lagi untuk bekerja dalam sektor perladangan, pembinaaan dan perkhidmatan, kata Penasihat Buruh di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di sini Talat Mahmud Khan hari ini.

Beliau berkata walaupun Malaysia mengalami kejatuhan ekonomi dan peningkatan jumlah pembuangan pekerja, namun pekerja Bangladesh masih mendapat permintaan kerana mereka dianggap rajin, cekap, patuh kepada peraturan, mudah dilatih dan tidak menuntut gaji yang tinggi.

Pekerja Bangladesh juga dikatakan mampu melakukan pelbagai tugas, katanya.

Talat berkata walaupun sektor perkhidmatan kini membekukan sementara pengambilan pekerja asing, namun visa bagi pekerja Bangladesh ini telah diluluskan sebelum peraturan itu dikuatkuasakan.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata dengan kedatangan pekerja baru ini, jumlah warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia akan meningkat kepada hampir 500,000 orang, termasuk 2,000 wanita.

Katanya, pada masa ini, pekerja wanita dari negara itu hanya dibenarkan bekerja dalam sektor pembuatan, terutama di kilang kain serta sarung tangan dan tidak diizinkan bekerja sebagai pembantu rumah.

Beliau berkata perkara yang sering menjadi sungutan pekerja Bangladesh di Malaysia ialah kebanyakan mereka tidak disediakan tempat tinggal yang sewajarnya dan faedah perubatan seperti yang dijanjikan pihak yang menguruskan kedatangan mereka.

Mereka juga kecewa tentang urusan pembaharuan visa yang sering mengambil masa yang lama, ada kalanya hingga tiga bulan, kerana dalam tempoh itu mereka dianggap sebagai pendatang tanpa izin, kata Talat.

"Inilah sebabnya banyak pekerja Bangladesh ditangkap pihak imigresen Malaysia," katanya.

Suruhanjaya Tinggi Bangladesh telah menubuhkan sebuah pusat sehenti di Semenyih bagi menempatkan pekerja terbabit. Pusat yang boleh memuatkan kira-kira 1,000 pekerja pada satu-satu masa ini dilengkapi kemudahan moden termasuk dapur, televisyen dan komputer.

Talat melahirkan harapan agar kerajaan Malaysia akan mengurangkan kadar bayaran sebanyak RM350 yang dikenakan terhadap pekerja yang ingin menukar sektor pekerjaan masing-masing.

Kata Talat bayaran kompaun yang dikenakan bagi visa yang tamat tempoh juga tinggi iaitu RM30 sehari dan beliau mencadangkan agar kadar itu dikurangkan kepada kira-kira RM100 bagi tempoh tiga bulan pertama.

Pesuruhjaya Tinggi itu bagaimanapun berkata beliau gembira dengan kerjasama Jabatan Imigresen dalam membantu menyelesaikan pelbagai isu berkaitan pekerja Bangladesh di negara ini.

Mengenai kesan sosial terhadap masyarakat Malaysia berikutan kehadiran pekerja Bangladesh di negara ini, beliau berkata ia tidak seberapa kerana sebahagian besar kehidupan pekerja dari negara itu hanya bertumpu di tempat kerja mereka.

"Bagaimanapun, dengan kehadiran begitu ramai warga Bangladesh di Malaysia sekarang, saya tidak menolak kemungkinan beberapa pemuda Bangladesh menjalin hubungan dengan gadis tempatan, tapi perkara ini amat jarang berlaku," katanya.

Kebanyakan pekerja Bangladesh datang ke negara ini untuk mencari rezeki secara halal dan pulang ke negara mereka apabila kontrak mereka berakhir, kata Talat.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog