Badan berkecai dihempap tong satu tan

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Mengerikan apabila badan dua pekerja binaan warga Bangladesh hampir berkecai sepenuhnya selepas dihempap tong pengangkut bahan binaan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Bangsar Utama di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, kabel pada tong berkenaan terputus daripada sebuah kren di tingkat 22 sebuah bangunan dalam pembinaan sebelum terjatuh dan menghempap mereka.

Sumber berkata, kedua-dua mangsa berusia 30 dan 40-an melakukan kerja bersama beberapa pekerja di tempat kejadian.

“Ketika kren itu di tingkat 22, kabel tidak dapat menampung berat bahan binaan yang diangkat menyebabkannya terputus.

“Tong yang dianggarkan lebih satu tan itu jatuh menghempap dua buruh binaan terbabit,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kepala seorang daripada mereka pecah manakala badan rakannya hampir hancur sepenuhnya dan bertaburan hingga beberapa meter di sekitar lokasi kejadian.

“Sepasukan anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengambil masa hampir setengah jam untuk mengumpul cebisan mayat mangsa.

“Polis bagaimanapun gagal mengesan beberapa pekerja, termasuk operator kren untuk membantu siasatan berikutan mereka dipercayai menghilangkan diri sejurus kejadian,” katanya.

Difahamkan sebuah bangunan pejabat 38 tingkat sedang dibina di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abd Khalid, ketika dihubungi, berkata kejadian terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Kami tidak mengesyaki sebarang kes jenayah,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog