MTUC diterajui pemimpin baru

Oleh NORILA DAUD
pengarang@utusan.com.my

Mohd. Khalid Atan (kiri) dipilih sebagai Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menewaskan Syed Shahir Syed Mohamud pada persidangan perwakilan kongres tersebut di Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 29 Dis. – Ahli-ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menghantar petanda jelas bahawa mereka tidak mahu pertubuhan itu diterajui oleh ahli politik apabila memilih Mohd. Khalid Atan sebagai presiden barunya pada pemilihan hari ini.

Mohd. Khalid yang sebelum ini merupakan Timbalan Presiden MTUC menewaskan penyandang jawatan itu, Syed Shahir Syed Mohamud dengan 42 undi apabila memperoleh 255 undi untuk menerajui MTUC bagi penggal 2010-2013.

Syed Shahir adalah ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi calon parti bagi Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Jawatan Setiausaha Agung MTUC pula dimenangi Abdul Halim Mansor daripada Kesatuan Sekerja Petroleum dan Kimia (NUPCIW) dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau menewaskan Abdullah Sani Abdul Hamid dari Kelab Kesatuan Sekerja (CLUB) dan J. Solomon dari Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE).

Abdullah Sani ialah Ahli Parlimen PKR bagi kawasan Kuala Langat, Selangor.

Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden dimenangi Mohd. Jaafar Abdul Majid dari Kesatuan Kebangsaan Pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia manakala jawatan Timbalan Setiausaha Agung diraih Samuel Davadason dari Malaysian Technical Service Union (MTSU).

Seramai 475 perwakilan dari 119 kesatuan di bawah gabungan MTUC membuang undi dari pukul 11 pagi sehingga 2 petang ini dengan pengiraan kertas undi mengambil masa enam jam sebelum keputusan diumumkan Ketua Pemeriksa Undi, N. Rajamorganam pada pukul 8.10 malam.

Pada pemilihan itu, 31 orang bertanding untuk merebut lapan jawatan tertinggi MTUC yang diadakan setiap tiga tahun sekali.

Khalid ketika ditemui selepas itu berkata, beliau dan barisan pimpinan baru MTUC akan berusaha keras memartabatkan kesatuan itu sebagai payung lebih kukuh untuk memperjuangkan nasib pekerja di negara ini.

Beliau berharap kepimpinan baru MTUC mampu menyelesaikan banyak isu berhubung pekerja dalam tempoh tiga tahun ini selain perpaduan lebih jitu di kalangan ahli-ahlinya seramai 500,000 orang daripada pelbagai sektor.

“Penetapan gaji minimum, lambakan pekerja asing di negara ini dan pindaan Akta Pekerja adalah antara isu yang akan diberi tumpuan,” ujarnya.

Beliau juga berharap kesatuan yang belum menjadi ahli MTUC berbuat demikian segera.

Comments

Popular posts from this blog