Semua Premis Menggaji Pekerja Asing Akan Diperiksa
KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Kerajaan memutuskan untuk mengadakan pemeriksaan bagi semua premis di sektor tertentu yang menggaji pekerja asing dengan seberapa segera, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.
Beliau berkata, fokus pemeriksaan adalah untuk memastikan majikan menjaga kebajikan pekerja asing terutamanya dari aspek pembayaran gaji, tempat tinggal, kesihatan dan persekitaran tempat kerja.
"Kita sebenarnya mahu memastikan para majikan sentiasa mematuhi piawaian perburuhan dan langkah-langkah perlindungan yang ditetapkan di bawah dasar serta undang-undang buruh negara," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agenda Pengurusan Warga Asing Merangkumi Isu Pemerdagangan Orang dan Mesyuarat Khas Pengurusan Warga Asing Peringkat Menteri di Parlimen di sini Rabu.
Menurutnya gerakan tersebut melibatkan beberapa pihak, antaranya Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, pemeriksaan itu juga bertujuan untuk mengesan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia.
Hishammuddin berkata setakat ini rekod kementerian itu menunjukkan jumlah keseluruhan warga asing yang bekerja dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, pembuatan, perladangan dan restoran berjumlah 1.8 juta orang.
Katanya, pada tahun 2008 sahaja, rekod aliran keluar wang negara hasil daripada aktiviti pekerjaan yang dilakukan oleh tenaga kerja asing di negara ini adalah sebanyak RM12.2 bilion.
Beliau bagaimanpun berkata, aliran keluar itu adalah seimbang dengan sumbangan yang diberikan oleh golongan tersebut terhadap pembangunan ekonomi negara.
Menurutnya, jumlah kehadiran warga asing ke Malaysia sehingga Disember tahun lalu adalah sebanyak 26.1 juta orang dan jumlah itu termasuk pelancong, pelajar dan pekerja asing yang berada di negara ini.
"Daripada jumlah itu 23.7 juta adalah pelancong manakala selebihnya terdiri daripada kalangan diplomat asing, pelajar dan pekerja yang menetap di sini," katanya.
Berhubung penubuhan Makmal Pengurusan Warga Asing, Hishammuddin berkata pelaksanaannya akan bermula 23 Mac sehingga 23 April ini di ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri dengan melibatkan 14 kementerian serta 11 jabatan dan agensi.
Katanya, beliau yakin penubuhan makmal itu yang dianggotai setiap kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan warga asing mampu menjadi landasan penting bagi membincangkan isu, mencari strategi penambahbaikan serta memperhalusi tanggungjawab masing-masing secara lebih sistematik dan berkesan.
"Kita juga akan mengundang 33 organisasi dan pertubuhan untuk menyertai makmal ini sebagai rakan perihal sindiket. Justeru, semua pihak yang memepunyai kepentingan dalam isu warga asing dijemput menghadiri makmal tersebut," katanya.
-- BERNAMA
Comments