Kementerian Sumber Manusia Kenal Pasti Keperluan Kemahiran MEB
KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia sedang mengenal pasti bentuk kemahiran diperlukan dalam bidang-bidang yang digariskan dalam Model Ekonomi Baru (MEB) dan yang berkaitan bagi meningkatkan sumber pertumbuhan negara.
Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam berkata antara bidang-bidang itu adalah berkaitan teknologi hijau, elektrikal dan elektronik, pelancongan, pertanian dan inovasi berasaskan industri.
Dr Subramaniam berkata kementerian telah membentuk sekumpulan pakar industri bagi memberi nasihat mengenai perkembangan kurikulum berkaitan.
"... dan selepas itu, kita akan memulakan penyusunan semula kesemua program latihan kami bagi memenuhi keperluan yang dikehendaki," katanya kepada Bernama selepas pelancaran Model Ekonomi Baru (MEB) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini Selasa.
MEB akan mengubah ekonomi Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang mapan dan inklusif serta menempatkan negara pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.
"(Oleh yang demikian), kami (di kementerian) telah memulakan langkah untuk menyediakan keperluan bagi membangunkan pekerja mahir dan jenis serta tahap kemahiran yang diperlukan seiring dengan MEB," kata Dr Subramaniam.
Beliau berkata institusi-institusi latihan di bawah kementerian telah diarahkan untuk memastikan kurikulum hendaklah ditanda aras mengikut piawaian kurikulum antarabangsa.
Selain itu, beliau berkata kementerian juga memberikan perhatian kepada aspek latihan berterusan para pekerja dengan mengukuhkan Tabung Pembangunan Sumber Manusia dan kaedah dana itu dikendalikan.
"Kami juga sedang mewujudkan peluang lain bagi lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang tercicir atau yang tidak mendapat keputusan baik untuk mengikuti program pembangunan kemahiran supaya mereka boleh turut bersama menjadi pekerja mahir," katanya.
Dr Subramaniam berkata peluang latihan kemahiran di kedua-dua sektor awam dan swasta akan ditingkatkan daripada kira-kira 100,000 sekarang kepada 250,000 tempat dalam beberapa tahun akan datang.
Antara tindakan dasar yang digariskan dalam membangunkan tenaga kerja berkualiti dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam MEB adalah meningkatkan kemahiran pada kumpulan tenaga kerja bawahan Malaysia menerusi pendidikan dan latihan berterusan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata tiada segmen dalam masyarakat akan dipinggirkan di bawah MEB.
"Saya fikir ini adalah sangat penting supaya kita boleh terus membesarkan "kek"... supaya kek ini dapat dinikmati dan sangat sedap untuk semua," katanya.
Namun, beliau berkata cabaran bagi model ekonomi ini adalah bagaimana hendak melaksanakannya dan ini memerlukan sokongan dan kerjasama penjawat awam serta rakyat dengan satu matlamat iaitu 1Malaysia.
-- BERNAMA
Comments