Daya Tahan Pekerja Tempatan Tidak Setanding Pekerja Asing
PUTRAJAYA, 25 Mac (Bernama) - Daya tahan pekerja tempatan tidak setanding pekerja asing dari negara jiran, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir pada Khamis.
"Ia merupakan satu rungutan dari wakil industri dan ia perkara yang merunsingkan kita," katanya kepada media selepas menghadiri Program Outreach Kementeriannya Bersama Institusi Pengajian Tinggi Malaysia di sini.
"Ia agak fundamental dan perlu ditangani untuk mengelakkan kita terus bergantungan kepada pekerja asing," katanya lagi.
Katanya terdapat sebuah kilang yang telah melatih hampir 1,200 pekerja tempatan selama dua minggu tetapi selepas diterima bekerja hampir 1,000 orang tidak hadir.
"Ini merugikan pihak industri selepas memberikan latihan kepada mereka. Gaji telah ditimbangkan tetapi itu juga tidak memadai untuk mereka kekal bekerja."
Beliau turut melahirkan kegusaran di mana letaknya persepsi cara kerja masyarakat dunia terhadap rakyat Malaysia berbanding rakyat Jepun, Taiwan, dan Korea Selatan yang terkenal dengan ketekunan mereka.
"Malah kini rakyat Vietnam dan Bangladesh mula terkenal dengan persepsi yang baik," katanya lagi.
Ditanya sama ada ia akan menjejaskan pelaburan asing ke dalam negara, Mukhriz berkata kerajaan mengambil masalah daya tahan pekerja tempatan ini sebagai satu cabaran.
"Banyak faktor yang perlu dilihat mengapa ia berlaku. Gaji mungkin tidak menjadi keutamaan. Mungkin mereka mahukan kebajikan mereka di jaga."
"Faktor mobiliti juga perlu dilihat di mana mereka mempunyai banyak pilihan. Perbezaan gaji RM50 pun memungkinkan mereka melompat ke tempat lain," katanya.
-- BERNAMA
Comments