Sedia laporan gaji -- Kerajaan mahu pastikan 1.2 juta pekerja dapat upah sewajarnya

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

SERDANG 30 Jun – Sebanyak 570,000 majikan sektor swasta diarahkan supaya menyediakan laporan gaji pekerja dalam tempoh tiga bulan dari sekarang untuk disemak dan dikaji oleh kerajaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn berkata, laporan tersebut bertujuan memastikan seramai 1.2 juta pekerja di negara ini mendapat gaji yang sepatutnya dan tidak berlaku sebarang penyelewengan dalam penggajian mereka.

“Jemaah menteri baru-baru ini bersetuju dengan pelaksanaan Akta Penetapan Gaji bagi menyiasat laporan-laporan majikan sebagai satu usaha kerajaan memberikan perlindungan kepada para pekerja terutama dari aspek gaji minimum yang wajar mereka nikmati,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan ibu pejabat dan bangunan baru Wisma Lucy Belle, milik sebuah syarikat dari Taiwan yang mempunyai 200 cawangan pusat kecantikan dan spa di seluruh Asia sejak ditubuhkan pada 1993.

Chan Onn mengulas mengenai tindakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang melancarkan piket baru-baru ini bagi menuntut gaji minimum RM900 sebulan dan Elaun Sara Hidup (COLA) RM300 untuk pekerja sektor swasta.

Menurut Chan Onn, jawatankuasa yang akan melakukan siasatan itu diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan yakin menerusi cara ini sebahagian besar tuntutan MTUC akan dapat dipenuhi.

“Jadi tidak perlulah MTUC berpiket mahupun mogok sebab tidak ada isu,” katanya.

Beliau berkata, melalui jawatankuasa itu, pihak kementerian akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan majikan dan kesatuan sekerja untuk sama-sama mengambil tindakan proaktif dalam apa juga isu membabitkan kebajikan pekerja.

“Melalui akta itu sebenarnya terdapat tujuh penetapan gaji yang membabitkan pelbagai sektor pekerjaan swasta termasuk perhotelan, perladangan dan pengangkutan,” katanya.

Utusan Malaysia - 1/7/07

Comments

Popular posts from this blog