Hansard persidangan parliment pada 2hb Julai 2007

muka surat 28

USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH
PERATURAN MESYUARAT 18(1)
PERMINTAAN MTUC TERHADAP GAJI MINIMUM
DAN ELAUN KOS KEHIDUPAN (COLA)
11.31 pg.
Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timor]: Tuan Yang di-Pertua, saya berdiri di bawah Peraturan Mesyuarat 18 untuk kemukakan Usul yang berikut, bahawa di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1), Dewan ini memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Yang Berhormat Tuan Lim Kit Siang untuk membawa satu Usul berkenaan perkara tertentu, berkepentingan orangramai dan berkehendak disegerakan iaitu permintaan MTUC terhadap gaji minimum dan Elaun Kos Kehidupan (COLA) untuk sektor swasta dengan potensi menyebabkan tindakan perusahaan secara besar-besaran.

Pada Isnin, 25 Jun 2007, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah mengadakan piket yang telah dihadiri beribu-ribu pekerja di 14 tempat seluruh negara selepas rundingan dengan kerajaan berkenaan Kempen Gaji Minimum RM900 dan Elaun Kos Kehidupan (COLA) RM300 untuk pekerja-pekerja sektor swasta menghadapi jalan buntu. Seminggu yang lepas, MTUC menyerah satu memorandum tujuh muka surat kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk meminta gaji minimum dan COLA untuk sektor swasta tetapi ianya tidak menghasilkan apa-apa respons bersesuaian.

Mengikut kajian MTUC, kira-kira empat juta daripada sepuluh juta pekerja-pekerja yang diwakilinya menerima gaji di bawah garis kemiskinan. Malahan di Johor Bahru di mana kos kehidupannya cukup tinggi, pekerja-pekerja kilang di sana hanya dibayar gaji serendah RM390. Hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur hanya membayar gaji asas sebanyak RM290 sebulan kepada pekerja-pekerja kebersihan dan pelayan-pelayannya. Perdana Menteri harus mempelopori rundingan tiga hala melibatkan kerajaan, MTUC dan wakil-wakil majikan berkenaan permintaan MTUC terhadap gaji minimum dan COLA untuk mengelakkan tercetusnya tindakan perusahaan dan memastikan kedamaian industri dengan adilnya untuk tiga sebab di bawah:
(i) tindakan susulan terhadap kenaikan gaji sebanyak 35% dan kenaikan COLA sebanyak 100% untuk pekerja-pekerja sektor swasta untuk memastikan bahawa mereka dapat hidup dalam keadaan yang sesuai dengan gaji asas yang adil, khususnya mereka yang berada dalam
kategori berpendapatan rendah;
(ii) negara kita dibanjiri jutaan pekerja migrant dengan gaji rendah dan keadaan kerja yang amat tidak memuaskan; dan
(iii) kehilangan keyakinan MTUC terhadap kemampuan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn untuk menyelesaikan masalah ini. Sekian, terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu Pemberitahu Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) daripada Ahli Yang Berhormat daripada kawasan Ipoh Timor pada hari Rabu, 27 Jun 2007. Teks Usul itu adalah seperti yang dibacakan tadi. Bagi membolehkan perkara ini ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat, Tuan Yang di-Pertua hendaklah berpuas hati dan memenuhi tiga syarat:
(i) bahawa perkara itu tertentu;
(ii) bagi kepentingan orang ramai; dan
(iii) ia berkehendak disegerakan.

Saya telah meneliti perkara ini dan saya dapati bahawa perkara ini perkara tertentu dan ia adalah bagi kepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan, perkara ini tidak perlu disegerakan. Saya difahamkan bahawa Kementerian Sumber Manusia sedang meneruskan rundingan dengan pihak Kongres Kesatuan Kerja Malaysia dan pihak Persatuan Kebajikan Majikan Malaysia berhubung dengan tuntutan gaji minimum dan Elaun Sara Hidup untuk pekerja sektor swasta. Oleh yang demikian, saya menolak Usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2).

Comments

Popular posts from this blog