Gaji minimum: K'jaan tolak permintaan MTUC

Jul 11, 07 3:45pm

Kerajaan tidak dapat memenuhi permintaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mahukan supaya gaji minimum pekerja ditetapkan pada RM900, dan elaun sara hidup (COLA) ditetapkan RM300, kepada semua petugas sektor swasta.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Abdul Rahman Bakar berkata sekiranya permintaan MTUC itu ditunaikan, ia akan menyebabkan banyak syarikat dalam negara `gulung tikar', demikian menurut laporan Bernama.

"Terdapat kira-kira dua juta pekerja asing dalam negara ketika ini, jika semua diberikan gaji minima seperti yang diminta MTUC, banyak syarikat tempatan akan ditutup," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Dr Jins Shamsudin di persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau memberi contoh bayaran gaji minimum dan COLA kepada pembantu rumah, yang menurutnya adalah tidak logik, kerana tempat tinggal dan makanan pembantu rumah itu disediakan majikan.

Ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Tajul Urus Mat Zain pula, Abdul Rahman berkata tidak semua negara maju memberikan gaji minima kepada para pekerjanya.

"Sebagai contoh, Amerika Syarikat membayar gaji mengikut tempoh jam, begitu juga dengan Britain dan Australia. Sekiranya penetapan gaji minimum boleh menjejaskan ekonomi negara, kerajaan tidak akan melaksanakannya," katanya.

Pada 25 Jun lalu, kira-kira 600 pekerja swasta mengadakan piket di ibu negara untuk mendesak kerajaan memperkenalkan gaji minimum dan bayaran COLA tersebut untuk pekerja swasta.

Ketika berucap dipiket yang diadakan di depan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut itu, Naib Presiden MTUC, Abdullah Sani berkata, pekerja akan terus mengadakan piket sehingga kerajaan membenarkan majikan swasta mengenakan gaji minima RM900 sebulan dan COLA RM300.


Malaysiakini.

Comments

Popular posts from this blog