Syarikat pembalakan M'sia didakwa ‘langgar hak asasi’
Soon Li Tsin



Satu laporan baru-baru ini telah mendedahkan hasil kajian kes yang dikatakan menyokong aduan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia serta perbuatan rasuah oleh syarikat pembalakan Malaysia, Rimbunan Hijau di Papua New Guinea (PNG). Syarikat dari Sarawak itu bagaimanapun, telah menafikan dakwaan tersebut.

Laporan itu dikompilasikan oleh Pusat bagi Undang-undang Alam Sekitar dan Hak Masyarakat (Celcor) dan Yayasan Pemuliharaan Australia(ACF), berdasarkan kajian mendalam menyokong dakwaan tersebut.

Laporan hasil kajian kes tersebut telah diterbitkan di Australia awal bulan ini. Ia mengandungi tujuh kajian kes – daripada dakwaan rasuah dan eksploitasi pekerja sehinggalah kepada penggunaan kekerasan terhadap pemilik tanah.

Rimbunan Hijau ditubuhkan pada 1976 oleh jutawan balak dan media, Tan Sri Tiong Hiew King, yang turut menguasai akhbar-akhbar berbahasa Cina di Malaysia – Sin Chew Daily dan Guangming Daily – serta akhbar The National di Papua New Guinea dan Ming Pao di Hong Kong.

Di PNG, Rimbunan mengendalikan lima daripada 12 projek utama pembalakan, serta memiliki satu-satunya kilang kayu lapis serta kilang papan terbesar di sana. Projek kendalian syarikat tersebut menghasilkan satu pertiga daripada eksport kayu balak PNG.

Ada dakwaan yang menyatakan syarikat tersebut begitu berkuasa sekali di beberapa kawasan pedalaman sehinggakan ia bertindak “seolah-olah ia merupakan kerajaan di sana”.

Bagaimanapun, Rimbunan menafikan dakwaan tersebut, dengan berkata laporan itu berat sebelah dan tidak langsung memberi pertimbangan terhadap sumbangan industri pembalakan terhadap ekonomi PNG, lapor akhbar The National Rabu lalu.

Akhbar itu memetik jurucakap syarikat berkenaan sebagai menafikan sekeras-kerasnya hasil laporan tersebut serta berkata “kita tidak mengendalikan sebarang operasi pembalakan di wilayah Southern Highland, pekerja asing kami mempunyai visa dan permit kerja.

“Pemilik-pemilik tanah berkata sesetengah kajian kes mengenai pelanggaran hak asasi manusia di tapak pembalakan sepertimana yang disebut dalam laporan tersebut, adalah tidak benar,” kata jurucakap itu.

Petikan laporan

Antara aduan tersebut adalah:

Rasuah

Seorang bekas pegawai polis Emmanuel Bani telah diambil bekerja sebagai pegawai keselamatan bagi syarikat tersebut. Para pegawai telah diarahkan oleh para pengurus Rimbunan supaya menggunakan kekerasan terhadap pemilik tanah yang menimbul masalah dan dibayar untuk itu.

“(Dia) membayar wang penghargaan kepada kami...wang yang saya anggap...seperti wang rasuah. Saya menerima wang sebanyak kira-kira tiga, empat, lima ratus, tambahan kepada bayaran elaun saya,” kata Bani dalam laporan tersebut.

Kerosakan harta

Dalam kejadian pada tahun 1999, Ben Harevela dari kampung Paevera membuat aduan kepada Frontier Holdings (anak syarikat Rimbunan) bahawa operasi pembalakan di konsesi Vailala telah memusnahkan kawasan suci kebudayaan di situ, dan meminta bayaran gantirugi akibat kerosakan tersebut..

Pemilik tanah juga tidak puas hati kerana tiada projek infrastruktur, sosial dan kemasyarakatan yang dilaksanakan sepertimana yang telah dijanjikan oleh syarikat berkenaan.

Harevela mendakwa, syarikat berkenaan telah membawa anggota pasukan khas polis dari ibunegara PNG – Port Moresby – untuk menangani mereka yang ‘menimbulkan masalah’ itu. Dia dan tiga orang lagi telah dibelasah dan mendakwa polis telah membakar lima buah rumah milik pemilik tanah di situ.

“Saya telah dibelasah di kampung saya dan mereka telah membakar kampung saya – lima buah rumah...mereka datang secara paksa dan penduduk kampung tidak tahu mengapa polis datang...mereka terkejut melihat polis datang...tiga daripada kami telah dibelasah dan lima buah rumah dibakar dengan barangan di dalamnya sekali....tiada apa yang tinggal....,” katanya.

Eksploitasi pekerja

Menurut Jabatan Pembangunan Masyarakat, Rimbunan hanya memberi gaji sebanyak 63 toea (kira-kira 80 sen Malaysia) sejam, tetapi mereka tidak dibayar elauan jika bekerja lebih dari masa yang ditetapkan.

Rasuah

Laporan kerajaan PNG mengenai ‘Rimbunan Hijau: Wawoi Guavi & Panakawa (Middle Fly-Western Province)’ mengesyorkan supaya kerajaan menguatkuasakan pentadbirannya di di kawasan Wawoi Guavi. Jika tidak, kata laporan itu,“Rimbunan akan menganggap dan bertindak seolah-olah ia yang berkuasa di situ”.

Kecurian balak

Manakala Agensi Siasatan Alam Sekitar dan NGO Indonesia, Telapak, pula telah menerbitkan laporan siasatan yang mendedahkan “berlakunya kecurian balak merbau, yang meluas” kerana permintaan yang tinggi terhadap balak jenis itu.


Sindiket broker dan tukar atur didakwa mengendalikan operasi haram untuk membawa keluara balak jenis merbau dari wilayah Indonesia di Papua dan menghantarnya dengan kapal ke China melalui “syarikat-syarikat Malaysia dan individu-individu yang menyelia pembalakan sebenarnya.”

Comments

Popular posts from this blog