Edisi Timur: 146 terima nasib sama


KUALA TERENGGANU: Bagai sudah diduga, seramai 146 pekerja cawangan sebuah kilang papan lapis di Wakaf Tembesu, di sini, turut menerima nasib sama seperti 300 rakan mereka sebelum ini apabila turut diberhentikan, semalam.

Kemelut antara pekerja dan majikan itu berterusan, menyebabkan pekerja nekad untuk terus berpiket di hadapan kilang berkenaan sehinggalah jalan penyelesaian ditemui.

Naib Presiden KPPSM, Mohd Rozi Salleh, berkata pekerja di cawangan syarikat berkenaan menerima notis daripada pihak pengurusan supaya hadir bekerja semalam atau operasi kilang akan diberhentikan.

Sebelum ini, mereka turut serta dalam piket yang masuk hari keempat semalam bagi membantah tindakan majikan memberhentikan rakan mereka tanpa mengikut perjanjian bersama yang ditetapkan.

Harian Metro yang melakukan tinjauan di tempat kejadian mendapati suasana semakin hangat apabila 146 pekerja di cawangan syarikat berkenaan menerima surat pemberhentian, pagi semalam.

Mereka yang berkumpul sejak awal pagi dengan pakaian seragam pekerja turut tidak dibenarkan masuk ke kawasan kilang yang dikawal ketat pengawal kilang.

Pekerja, Mohd Azam Abdullah, 30, berkata dia kecewa dengan nasib yang menimpa diri dan lebih 400 rakannya yang diberhentikan tanpa mengikut prosedur betul.

“Rakyat tempatan disingkirkan, manakala pekerja asing pula diambil bekerja tanpa gangguan,” katanya yang 10 tahun berkhidmat di kilang itu.

Rakannya, Mohd Rasyid Yusof, 37, berkata dia sedih apabila pihak pengurusan membuang pekerja begitu saja tanpa mengambil kira kebajikan mereka.

“Saya bekerja selama 13 tahun di kilang ini dan kini saya hilang mata pencarian dan tidak tahu ke mana lagi hendak mengadu,” katanya.

Seorang lagi pekerja, Norsah Yusof, 47, berkata dia sedih dengan keadaan itu dan akan tetap meneruskan mogok sehingga semua pekerja dipanggil untuk bekerja semula.

“Walaupun menerima pelbagai tekanan dan layanan yang tidak memuaskan daripada pihak atasan, namun saya akan terus bekerja di sini kerana ia adalah periuk nasi saya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi dan Pembangunan Sumber Manusia negeri, Datuk Dr Ab Latiff Awang, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai masalah berkenaan.

“Pihak kerajaan negeri bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Comments

Popular posts from this blog