Oleh TUAN MAHERAN TUAN SHAFFEE

KUALA TERENGGANU: Kesatuan Pekerja Perkayuan Semenanjung Malaysia (KPPSM) membantah tindakan sebuah kilang papan lapis di Wakaf Tembesu, di sini, memecat hampir 300 pekerja tanpa notis.Setiausaha Agungnya yang juga Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, berkata tindakan majikan itu adalah penganiayaan kepada pekerja tempatan yang juga ahli KPPSM.“Tindakan majikan itu tidak patut,” katanya yang ditemui bersama lebih 300 pekerja yang berpiket di depan kilang buat kali kedua bagi mendesak satu perundingan dengan majikan, sejak jam 8.30 pagi semalam.Kelmarin, Harian Metro melaporkan lebih 300 pekerja berpiket di pekarangan kilang itu akibat dibuang kerja.Mereka mendakwa dianaktirikan apabila pekerja asing dikekalkan walaupun majikan terpaksa membayar gaji lebih mahal kepada pekerja asing.Mohd Khalid berkata, tindakan majikan mengekalkan pekerja asing dan memecat tenaga tempatan adalah bertentangan dengan dasar kerajaan.“Majikan ini melanggar ‘Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan’ yang digariskan Kementerian Sumber Manusia, iaitu pekerja asing hendaklah diberhentikan dalam kategori pekerjaan sama,” katanya.Beliau berkata, KPPSM juga meragui isu kegawatan ekonomi syarikat yang dijadikan alasan pemberhentian pekerja kerana mereka masih juga bekerja lebih masa, termasuk hari cuti.“Sudah tentu hasil pengeluaran bertambah selaras dengan tambahan masa kerja itu. Oleh itu, kami tidak dapat menerima alasan ekonomi syarikat gawat.“Selain itu, majikan mengetepikan Perjanjian Bersama (PB) kerana meminda perjanjian sewenang-wenangnya tanpa persetujuan dan perbincangan dengan KPPSM,” katanya.Mohd Khalid berkata, KPPSM mendesak majikan berkenaan menyelesaikan segera perkara itu untuk kebaikan semua.“Kami juga menuntut majikan mengambil kembali pekerja tempatan serta merta dan kami rela berhujan dan berpanas menunggu keputusan mereka,” katanya.Sementara itu, jurucakap pengurusan kilang itu ketika dihubungi berkata, pihaknya belum dapat membuat sebarang keputusan mengenai desakan KPPSM.

©The New Straits Times Press (M) Berhad

Comments

Popular posts from this blog