Majikan bertanggungjawab bayar levi pekerja asing mulai 1.1.2017
TPM: Majikan bertanggungjawab bayar levi pekerja asing
mulai esok.
Majikan bertanggungjawab sepenuhnya
untuk membayar levi pekerja asing berkuat kuasa esok (1 Jan 2017) di bawah
Komitmen Mandatori Majikan (EMC), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi. Beliau yang juga Menteri Dalam
Negeri berkata EMC bertujuan memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya
terhadap pekerja asing yang digajikan bermula dari peringkat permohonan,
penggajian dan sehinggalah pekerja asing tersebut dihantar pulang ke negara
asal.
"Bermula dari tempoh ini,
majikan tidak lagi dibenarkan untuk membuat potongan gaji pekerja bagi menampung pembayaran levi," katanya dalam
kenyataan, di Putrajaya hari ini. Menurutnya perubahan dasar itu akan meletakkan
majikan lebih bertanggungjawab dalam menjaga pekerja mereka, sekali gus mengelak isu pekerja
asing lari, bertukar sektor secara haram serta tinggal lebih masa dan menjadi
pendatang asing tanpa izin (PATI).
Selain itu, katanya, majikan juga
perlu mematuhi Garis Panduan Standard Minimum Penginapan Pekerja Asing dengan
pekerja-pekerja akan ditempatkan di penginapan yang disediakan oleh majikan.
Ahmad Zahid berkata dalam masa
terdekat, kerajaan juga akan memperkenalkan penggunaan Surat Aku Janji yang
mengariskan tanggungjawab dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi setiap majikan
dalam penggajian pekerja asing.
Katanya kerajaan turut mengkaji
semula kadar wang cagaran yang dikenakan kepada majikan bagi membawa masuk
pekerja asing. "Kadar sedia ada didapati
terlalu rendah dan tidak berkesan sebagai langkah pencegahan bagi memastikan
majikan menghantar pekerja asing pulang ke negara asal setelah kontrak/khidmat
mereka tidak lagi diperlukan," jelasnya.
Menurut Ahmad Zahid, pengambilan
pekerja asing merupakan satu keistimewaan yang diberikan kepada majikan bagi
memenuhi keperluan tenaga kerja di dalam industri dan membantu pertumbuhan
ekonomi negara. Bagaimanapun, katanya, terdapat
majikan yang tidak bertanggungjawab terhadap pekerja yang dibawa masuk dan melanggar peruntukan di bawah
undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Ahmad Zahid berkata kerajaan
mendapat laporan bahawa majikan tidak membayar gaji mengikut gaji minimum,
mengehadkan perjalanan pekerja asing dan memegang pasport mereka.
"Terdapat kejadian di mana
pekerja asing melarikan diri dan majikan lepas tangan lalu menyerahkan kepada
Jabatan Imigresen, polis dan agensi lain untuk mencari dan menghantar pulang
pekerja asing," katanya.
Insiden-insiden seumpama itu memberi
ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti pemerdagangan orang, katanya.
-Bernama
Comments