Kedudukan Sebenar Kewangan NEGARA
Kewangan Kerajaan
Pusat genting
A Kadir Jasin
4 September 2016
SALAH satu ciri belanjawan yang diidam-idamkan oleh semua
negara di dunia dan dituntut oleh badan-badan kewangan antarabangsa adalah
keseimbangan di antara hasil dan perbelanjaan.
Inilah yang
disebut sebagai belanjawan seimbang. Tetapi ia lebih berupa impian daripada
kenyataan bagi kebanyakan negara. Dalam keadaan biasa pun ia sukar dicapai
apatah lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang.
Antara matlamat
dan ikrar utama Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak apabila mengambil alih teraju
Kementerian Kewangan pada akhir tahun 2008 ialah menghapuskan defisit
belanjawan secara berperingkat.
Kemudian sebagai
Perdana Menteri pada tahun 2009 beliau menjadikan belanjawan seimbangan sebagai
salah satu matlamat penting Program Transformasi Nasional. Beliau berhasrat
mencapai idealisme itu menjelang tahun 2020.
Secara amnya,
dasar itu menampakkan kemajuan. Defisit belanjawan, iaitu perbezaan antara
hasil dan perbelanjaan, dapat dikurangkan daripada 6.7 peratus pada tahun 2009
kepada 3.2 peratus tahun lalu.
Bagaimanapun,
dalam tempoh itu juga hutang kerajaan melambung kerana meminjam dengan banyak
untuk membiayai pembangunan. Akibatnya jumlah terkumpul hutang kerajaan naik
dari RM250 bilion pada tahun 2010 kepada RM656 bilion pada akhir Jun lalu.
Ini adalah angka
rasmi yang disiarkan di internet oleh Bank Negara dan dikemaskinikan pada 30
Ogos iaitu sehari sebelum ulang tahun Hari Kebangsaan ke-59.
Jumlah ini adalah
yang paling tinggi dalam sejarah negara dan mencecah had pinjaman yang Mohd
Najib sendiri tetapkan iaitu 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK).
Pada tahun 2008,
apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan Kementerian Kewangan kepada Mohd
Najib, hutang kerajaan berbanding KDNK adalah 41.24 peratus. Nisbah ini lebih
rendah pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Keadaan menjadi
tambah meruncing sejak sembilan bulan terakhir sehingga Jun tahun ini. Dalam
tempoh itu, hasil kerajaan lebih rendah daripada belanja mengurus. Hal ini
tidak pernah berlaku sebelum ini.
Dalam bahasa yang
mudah, hasil yang kerajaan pungut tidak pun cukup untuk membayar gaji
kakitangan awam, menyelenggarakan harta awam dan membayar balik hutang. Hatta
pungutan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pun telah jatuh di bawah jumlah
yang dianggarkan kerana pengguna tidak lagi berbelanja seperti dulu.
Hasil kerajaan
pada umumnya hanya cukup untuk belanja pengurusan. Kos pengurusan tinggi kerana
bilangan kakitangan awam ramai dan gaji yang mereka terima boleh dikira lumayan
berbanding jumlah penduduk dan hasil kerajaan. Bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M) dan subsidi pun datang daripada sumber yang sama. Untuk membangunkan
negara kerajaan terpaksa berhutang.
Akibatnya hutang kerajaan sangat besar.
Dalam kedua-dua
aspek perbelanjaan ini – pengurusan dan pembangunan – berlaku pembaziran yang
besar akibat kelemahan pentadbiran, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.
Satu lagi tanda
bahawa kewangan kerajaan semakin meruncing ialah apabila kerajaan mula bermain
dengan pengubahsuaian teknikal bagi memberi gambaran bahawa hasil meningkat dan
hutang berkurangan.
Misalnya,
baru-baru ini kerajaan memindahkan hutang perumahan kakitangan awam sebanyak
RM22 bilion kepada sebuah badan berkanun baru bernama Lembaga Pembiayaan
Perumahan Sektor Awam. Untuk mencari modal ia berhutang RM25 bilion dengan
menjual bon yang dijamin oleh kerajaan.
Pemindahan dari
tangan kanan ke tangan kiri itu telah mengurangkan nisbah hutang kerajaan
berbanding KDNK sebanyak kira-kira dua peratus.
Tetapi sebaik saja
hutang itu dikurangkan, kerajaan meminjam lebih banyak sehingga menyebabkan
hutang terkumpul meningkat RM29 bilion dalam suku kedua tahun ini.
Natijahnya
kerajaan wajib kembali kepada ikrar perbelanjaan berhemah dengan mengurangkan
pembaziran, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah bukan dengan memotong
peruntukan kepada sektor kritikal seperti pelajaran, kesihatan dan ekonomi.
Pada masa sama, ia
perlu berterus terang dengan rakyat jelata mengenai keadaan sebenar ekonomi.
Kerajaan boleh menggunakan jentera propaganda untuk memberi gambaran bahawa
segala-galanya terkawal sedangkan kehidupan rakyat jelata semakin terdesak.
Ekonomi tidak
berbohong. Wallahuaklam.
Comments