Kilang Kenmark Henti Operasi Untuk Penaksiran Aset
KLANG, 2 Jun (Bernama) -- Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan Rabu berkata operasi kilang perabot Kenmark Industrial Co (M) Bhd diberhentikan sejak Khamis lepas untuk proses penaksiran aset oleh firma audit PricewaterhouseCoopers.Beliau memberitahu JawatanKuasa Bertindak Pekerja Kenmark dalam satu perjumpaan dengan Jabatan Tenaga Kerja Pelabuhan Klang di sini hari ini bahawa Kenmark Industrial belum lagi gulung tikar.
Sebaliknya, EON Bank Bhd telah melantik firma audit itu untuk mentaksir aset-aset Kenmark di dalam kilang itu untuk dibuat penilaian sama ada Kenmark perlu ditutup atau distruktur semula kerana tidak menyempurnakan pembayaran hutangnya kepada bank itu.
Maznah berkata proses itu baru bermula dan pihaknya tidak dapat menjangkakan bilakah proses itu akan berakhir tetapi beliau memberi jaminan nasib 400 pekerja kilang itu yang sebahagian daripadanya ialah pekerja asing terdiri daripada warga Bangladesh dan Myanmar turut akan diberi perhatian oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Bagaimanapun, beliau berkata: "Syarikat ini (Kenmark) belum ambil tindakan memberhentikan pekerja mereka."
Maznah berkata jika proses undang-undang mendapati bahawa Kenmark perlu ditutup atau distruktur semula operasinya, pihaknya akan mempastikan kepentingan kesemua pekerja akan terjamin seperti soal pampasan di bawah Akta Pekerja 1955.
Bahkan sekarang katanya, kementerian telah melakukan tindakan proaktif di mana para pekerja boleh mencuba mencari pekerjaan di 15 syarikat perabot yang memerlukan 735 pekerja di sekitar Pelabuhan Klang, Kapar, Teluk Panglima Garang dan Teluk Gong yang dikenalpasti oleh JTK.
Bagaimanapun, wakil pekerja itu berkata ada di antara mereka sudah menjalani temuduga di beberapa kilang tertentu tetapi malangnya pihak kilang hanya mengambil pekerja berumur dari 18 tahun ke 30 tahun sahaja.
Ada di antara pekerja Kenmark yang berumur lewat 30-an dan mereka telah bekerja di kilang itu melebihi 10 tahun.
Bagaimanapun Maznah berkata agensi kementerian mempunyai beberapa program seperti 'kerja dari rumah' bagi mengatasi masalah pekerja yang lanjut usia.
Pengerusi Badan Jawatan Kuasa Bertindak pekerja kilang itu, Abdul Halim Mohd Aini, 37, berkata beliau telah berkhidmat selama 20 tahun di Kenmark sebagai juruteknik dan apa yang diharapkan beliau dan rakan-rakannya mendapat pembelaan daripada pihak berwajib.
-- BERNAMA
Comments