Kerajaan siasat dakwaan MTUC - Hishammuddin
KUALA LUMPUR 12 April - Jabatan Imigresen dan polis telah diminta menghantar laporan berhubung dakwaan terdapat lebih 150,000 pekerja asing tidak dapat pulang ke tanah air selepas visa tamat tempoh kerana pasport mereka dipegang oleh majikan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selepas menerima laporan berkenaan barulah beliau dapat mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan.
''Sebenarnya memang majikan tidak boleh memegang pasport mana-mana individu dan ia juga tidak boleh dibuat dengan alasan mengelak pekerja lari.
''Saya difahamkan bahawa dengan memegang pasport ini, masih ada pekerja asing yang lari daripada majikan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A. Balasubramaniam pada Sabtu lalu bahawa lebih 150,000 pekerja asing yang bekerja di restoran dan kedai kopi tidak dapat pulang ke tanah air selepas visa tamat tempoh kerana pasport mereka dipegang oleh majikan.
Menurut Balasubramaniam, pekerja berkenaan tidak berniat untuk tinggal melebihi tempoh tetapi telah dieksploitasi oleh majikan yang memegang pasport mereka dan enggan memperbaharui visa yang telah tamat tempoh.
Sehubungan itu, MTUC mencadangkan kerajaan memberikan pengampunan khusus kepada kumpulan itu untuk kembali ke negara asal mereka.
Menurut Hishammuddin, adalah sukar untuk menyatakan secara tepat jumlah pekerja yang pasport mereka dipegang oleh majikan dan bilangan sebenar pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.
''Ini kerana ada dua kategori pekerja asing sedemikian di Malaysia iaitu yang datang ke sini secara sah dan selepas itu menjadi tidak sah kerana tinggal lebih masa serta mereka yang sejak awal-awal lagi tiba di negara ini tanpa dokumen sah.
''Jumlah sebenar hanya dapat disahkan setelah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing mendapat laporan penuh daripada lapan kementerian dan 15 agensi yang ditugaskan memantau isu ini," katanya.
Menurut beliau, angka tepat jumlah PATI itu akan memudahkan kerajaan melakukan pemantauan dan tapisan bagi mengenal pasti pekerja yang tinggal lebih masa kerana pasport dipegang majikan dan menghantar mereka yang masuk tanpa dokumen sah pulang ke negara asal.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, ahli patologi Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand perlu mengemuka bukti lengkap berhubung dakwaan beliau tidak dapat menyertai inkues Teoh Beng Hock kerana bimbang keselamatan dirinya berikutan terdapat 'tekanan politik' daripada kerajaan Malaysia.
''Isu ini sepatutnya tidak berbangkit kerana kerajaan menjamin keselamatan semua orang termasuk bukan warganegara Malaysia dan pelancong yang berada di negara ini.
''Sekiranya terdapat pihak yang bimbang dengan keselamatan diri masing-masing, mereka sepatutnya melaporkan kepada polis dengan menyertakan maklumat lengkap," katanya.
Tegas beliau, dakwaan Pornthip itu setakat ini hanya bersifat umum dan ia menyukarkan kerajaan untuk melakukan siasatan.
''Saya menyeru kepada beliau untuk memberikan maklumat yang lebih jelas bagi membolehkan kita melakukan siasatan menyeluruh kerana kita tiada apa-apa yang hendak disembunyikan," ujarnya.
Comments