Kajian Tabung Pemberhentian Pekerja Siap Akhir Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Penubuhan Tabung Pemberhentian Pekerja akan dapat direalisasikan setelah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menyiapkan keputusan laporan kajian risiko mengenainya akhir tahun ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata, apabila laporan itu siap kelak, pihaknya akan mengemukakan cadangan mengenainya kepada Kabinet untuk tindakan lanjut.

"Kementerian telah minta ILO yang mempunyai kepakaran aktuari dalam hal ini untuk membuat kajian dengan mengenal pasti keadaan yang ada di negara kita, dan seterusnya mencadangkan satu sistem serta pelaksanaan yang sesuai.

"Kita mempunyai sikap yang terbuka mengenai hal ini, kalau apa yang dicadangkan ILO sesuai dengan kehendak negara dan sesuai dilaksanakan, kerajaan sudi untuk melaksanakannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat perwakilan MIC Bahagian Titiwangsa di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa kerajaan sedang merangka dua langkah khusus untuk kepentingan sosial pekerja di negara ini ekoran daripada kesan kegawatan ekonomi dunia.

Dua langkah itu ialah penubuhan Tabung Pemberhentian Pekerja bagi menjaga kepentingan pekerja yang terpaksa diberhentikan, dan skim pencen bagi pekerja sektor swasta sebagai jaminan keselamatan sosial pada hari tua.

Mengenai skim pencen bagi pekerja sektor swasta, Subramaniam berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang terlibat bagi merealisasikan skim tersebut.

"Tujuan kerajaan jelas (iaitu) ingin membantu pekerja swasta supaya selepas bersara kedudukan kewangan mereka stabil, sebab contohnya ada segelintir warga emas yang melalui kesusahan menanggung keperluan asas akibat wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dihabiskan dengan cepat," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk tiga pemimpin kumpulan haram, Hindraf, yang diumumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, semalam.

"Ini menunjukkan sikap terbuka yang diamalkan beliau (Najib) dan kesudian beliau untuk mengambil kira pandangan yang diberitahu rakyat," katanya.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog