Kerajaan cadang naik gaji pekerja tempatan swasta
KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Kerajaan bercadang menaikkan skim gaji pekerja tempatan swasta kepada satu kadar yang lebih tinggi dalam beberapa sektor pekerjaan bergaji rendah termasuk sektor perladangan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata langkah itu bagi menarik minat pekerja tempatan bekerja dalam sektor itu dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga asing di negara ini.
Katanya kementerian sedang berbincang dengan agensi berkaitan agar satu kaedah baru atau tangga gaji baru yang lebih sesuai ditawarkan kepada pekerja tempatan.
"Contohnya dalam bidang perladangan ada lebih 150,000 pekerja asing dan beberapa usaha telah diambil oleh pihak majikan untuk mengambil pekerja tempatan tetapi sampai sekarang mereka tidak berminat bekerja dalam sektor itu kerana memperoleh gaji yang rendah," katanya ketika menggulung perbahasan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara di sini, Khamis.
Beliau berkata apabila skim gaji dinaikkan, maka hasrat kerajaan untuk mengurangkan bilangan pekerja asing sehingga ke satu tahap yang memuaskan akan dicapai.
"Apa yang menjadi isunya sebelum ini adalah apabila terdapat kekosongan kerja sektor tertentu tawaran yang dibuat majikan tidak mendapat sambutan...pekerja tempatan amat kurang disebabkan gaji rendah dan peluang itu direbut pekerja asing," katanya.
Subramaniam berkata walaupun kerajaan menjalankan tindakan tegas dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing namun beberapa pihak dalam sektor swasta, ahli perniagaan dan ahli korporat memberi pandangan bahawa perkara itu perlu dibuat secara terancang bagi mengelakkan operasi mereka terjejas.
"Kerajaan banyak menerima rungutan daripada majikan apabila lebih 20 sektor pekerjaan menghantar memorandum (kepada kementeriannya) yang memberitahu bahawa mereka masih memerlukan sokongan dan bantuan daripada pekerja asing," katanya.
-- BERNAMA
Comments