PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Rang Undang-undang Pekerja Asing akan dibentangkan di Parlimen bulan depan, yang akan merintis jalan bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri untuk mengawal dan menguruskan kesemua 1.9 juta pekerja asing di negara ini.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata draf rang undang-undang itu kini di peringkat akhir.

"Rang undang-undang itu akan membolehkan kementerian mengawal pekerja asing mulai hari mereka memasuki negara ini sehinggalah hari mereka meninggalkan negara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di Ibu pejabat Jabatan Imigresen di sini.

Ketika ini, pengambilan pekerja asing sebagai pembantu rumah berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia meskipun pengeluaran permit kerja dilakukan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Program Malaysia Rumah Keduaku pula di bawah Kementerian Pelancongan tetapi terdapat kes apabila sesetengah warga asing yang mendaftarkan diri untuk program itu sebenarnya bukanlah pesara tetapi pekerja asing, katanya.

Beliau berkata Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berharap dapat menguruskan pekerja asing merangkumi pengeluaran permit, levi dan perlindungan insurans sehinggalah kepada mengendalikan kursus induksi, latihan serta aspek kebajikan mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata penubuhan Mahkamah Buruh akan kekal di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi menangani aduan pekerja asing.

"Kementerian Sumber Manusia tidak mempunyai keupayaan. Kami mempunyai keupayaan untuk memantau dua juta pekerja asing," katanya.

Radzi juga berkata Rela mensasarkan untuk menahan kira-kira 40,000 pendatang tanpa izin tahun ini berbanding 25,000 orang tahun lepas.

"Kami mahu mereka takut," katanya.

Menteri itu berkata tujuh mahkamah khas yang ditubuhkan di pusat tahanan pendatang tanpa izin berjaya menyelesaikan 2,000 kes sepanjang bulan lepas, sekali gus membantu meredakan masalah kesesakan di pusat tahanan.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog